Angan angan.

Manusia Panjang Angan-angan!

MANFAATKAN UMURMU YANG TERHAD DAN AWASI IMPIANMU YANG TIADA HAD.

Asy-Syeikh ‘Abdul Wahhab bin Nasir at-Turairi hafizahullah di dalam kitabnya اليوم النبوي menyatakan bahawa ada ketikanya Rasulullah ﷺ menerangkan sesuatu kepada para sahabat Radhiyallahu ‘Anhum dengan cara melukis gambar seperti dalam hadith berikut.

Daripada Saidina Ibnu Mas’ud Radhiyallahu ‘Anhu berkata:

Rasulullah ﷺ melakarkan garisan dalam bentuk empat segi. Kemudian Baginda ﷺ membuat garisan panjang di tengah garisan empat segi tersebut sehingga keluar dari kawasan empat segi itu.

Baginda ﷺ juga membuat garisan-garisan kecil di sisi garisan tengah tadi.

Kemudian Baginda ﷺ menjelaskan:

Ini adalah gambaran hidup seorang insan. Garisan empat segi yang melingkungi garis tengah itu adalah ajal seorang insan.

Manakala garisan tengah yang keluar dari kawasan empat segi itu adalah impian dan angan-angannya.

Garisan-garisan kecil itu pula adalah perkara-perkara yang menimpa dirinya sepanjang hidupnya sama ada musibah, bencana (sakit, kemalangan, kehilangan dan kerosakan harta) dan sebagainya.

Lalu Baginda ﷺ menyatakan lagi:

Jika dia terlepas daripada satu perkara, dia akan terkena pula perkara yang lain. Begitulah seterusnya dalam kehidupannya sehinggalah dia bertemu dengan ajalnya.

Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari rahimahullah.

Hadith ini juga ada dinyatakan oleh al-Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya رياض الصالحين, dalam bab ke-65 : Bab Ingat Mati dan Pendek Angan-angan dan Impian.

Al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menyatakan di dalam kitabnya:

“لطائف المعارف فيما لمواسم العام من الوظائف”

“Janganlah engkau tergolong di kalangan orang yang mengharapkan ganjaran pada Hari Akhirat tetapi tidak bersungguh-sungguh melakukan amal soleh dan menangguh-nangguhkan taubat disebabkan oleh panjang angan-angan dan impian.”

“Ya Allah, taufiqkanlah kami untuk sentiasa mengingati mati serta mempersiapkan diri untuknya dengan melakukan amal soleh dan memperbanyakkan taubat kepada-Mu.

Ya Allah, jauhkanlah kami daripada sibuk mengejar angan-angan dan impian duniawi yang menyebabkan kami lalai untuk mempersiapkan diri bertemu dengan-Mu.”

#AbuAmmar(SAS).
Isnin, 22 Rabi’ul Akhir 1442H – 7 Disember 2020.

Leave a Comment